Berita Mutakhir UNITAR

PENAWARAN IJAZAH PALSU BOLEH JEJAS REPUTASI IPT
Rabu, April 10, 2019
unitar news

KELANA JAYA - Fakulti Perniagaan dan Teknologi, UNITAR International University (UNITAR) menganjurkan sesi persidangan meja bulat industri yang bertemakan 'Isu dan Cabaran Integriti Akademik' bagi mengumpulkan pemegang taruh di bawah satu platform untuk membincangkan isu dan cabaran yang timbul berkaitan topik berberkaitan isu plagiat di dalam bidang akademik.

Naib Canselor UNITAR, Prof Dr Nor Raihan Abd Hamid berkata, perbincangan meja bulat industri ini dilihat relevan dengan perkembangan dunia pendidikan ketika ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak akan merosakkan reputasi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) malah menimbulkan isu ketidakpercayaan masyarakat kepada institusi pendidikan.

Katanya, isu ini juga memberi kesan kepada integriti akademik termasuklah isu plagiat yang memberi kebimbangan dalam kalangan pemain industri, universiti tetapi juga majikan dan pemegang taruh lain turut terkesan dengan ketidakjujuran akademik ini.

"Selari dengan perkembangan teknologi moden dan capaian internet yang meluas pada hari ini memboleh lebih ramai individu berpeluang untuk mendapatkan kelulusan akademik secara dalam talian, sekali gus memperolehi pekerjaan yang lebih baik menggunakan kelayakan yang diperolehi itu.
"Kemudahan itu juga sedikit sebanyak mendorong kepada kegiatan penawaran ijazah palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab secara dalam talian, tanpa mengambil kira kesan pada masa akan datang," katanya ketika merasmikan majlis meja bulat industri di UNITAR, di sini.

Persidangan itu juga dikendalikan oleh moderator terkenal, Felo Penyelidikan Kanan, Profesor Adjung Khaerudin Sudharmin dan dibarisi Ahli Lembaga Pengarah UNIKL, Profesor Datuk Dr Syed Othman Alhabshi, Profesor Kuliyah Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Norbik Bashah Idris, Pensyarah The Global University of Islamic Finance (INCEIF) Profesor Dr Syed Abdul Hamid AlJunid, Ketua Sumber Manusia PLUS Malaysia Berhad, Wan Nong Khairol, Ketua Pengawai Operasi Orion Base Shipping (M) Sdn Bhd, Azhari Abdul Rahman.

Dr Nor Raihan berkata, isu integriti akademik dan ijazah palsu ini memberikan cabaran besar kepada kerajaan dan pihak yang terbabit.

Katanya, hal ini menyebabkan Kementerian Pelajaran (KPM) dan kerjasama konsortium universiti melancarkan sistem pengeluaran serta pengesahan universiti atau e-Scroll dengan menggunakan teknologi Blockchain bagi mengatasi masalah ijazah palsu.

Menurutnya, masih ramai pihak menuntut supaya undang-undang khusus diwujudkan bagi membendung isu pemalsuan ijazah termasuklah memasuklah bagi memastikan tidak ada institusi yang menawarkan program yang tiada pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Penganjuran sesi berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keseriusan masalah yang berlaku dan kesannya pada masa akan datang.
"Perbincangan itu juga mengupas dan mencari penyelesaian terbaik yang boleh di ambil oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta (IPTA atau IPTS) dan pembuat dasar dalam menangani isu ijazah palsu sekali gus menjaga integriti akademik di negara ini," tambahnya.