Berita Mutakhir UNITAR

RAJA SAWIT DI TV3 BERSAMA CHEF WAN DAN MARTIN YAN
Selasa, Mei 21, 2019
unitar news
PETALING JAYA: TV3 bakal menyiarkan program realiti TV masakan ala ‘MasterChef’, dikenali “Raja Sawit” pada jam 6 petang setiap Sabtu, mulai 8 Jun ini.

Program membariskan 16 peserta merangkumi lapan pasukan, bakal menampilkan dua ikon chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan serta bekas juri ‘Iron Chef’ dan ‘Hell’s Kitchen’, Chef Martin Yan dari China selaku juri, pengajar dan hos.

Peserta adalah pelajar terbaik dari lapan kolej kulinari terkemuka negara yang dijemput secara eksklusif dan akan bersaing dengan menggunakan minyak sawit sebagai bahan asas mereka.

Mereka dari Universiti SEGI, Kota Damansara; Universiti Antarabangsa UNITAR; Universiti UCSI; Kolej Universiti BERJAYA; Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam; Kolej Antarabangsa Pengurusan Perhotelan YTL; Kolej Teknologi dan Kesenian HELP serta Kolej Antarabangsa INTI, Subang.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok pada sidang media mengenai program itu di Sri Pentas, di sini hari ini, berkata beliau amat gembira kerana Rangkaian Televisyen Media Prima sudi menganjurkan pertandingan realiti masakan bagi mempromosi penggunaan minyak sawit dalam kalangan rakyat.

Katanya, program dihoskan oleh dua ikon dan tukang masak terkenal itu akan dapat memperkenal dan mempromosi pelbagai masakan tempatan berasaskan minyak sawit.

“Peserta juga berpeluang mempelajari dan mencuba pelbagai teknik serta resipi masakan yang sedap dan berkhasiat daripada Chef Wan dan Chef Martin.

“Dulu kita selalu lihat rancangan realiti dianjurkan di negara Barat, sekarang kita sudah ada pertandingan memasak sendiri dikenali ‘Raja Sawit’ yang mampu menarik orang ramai untuk menonton,” katanya.

Sepanjang enam episod, semua peserta akan menaiki bas ‘Raja Sawit’ ke pelbagai lokasi untuk pengalaman memasak menggunakan sayur-sayuran dan ikan segar menerusi konsep ‘dari ladang ke meja’.

Mulai episod ketiga, mereka akan melalui pusingan penyingkiran sebelum tiga pasukan terbaik bakal ke saingan final di episod keenam.

Pemenang bakal menerima gelaran ‘Raja Sawit’, trofi dan sijil penghargaan, penginapan tiga hari dua malam di The Banjaran Hot Springs Retreat bernilai RM10,000 seorang, selain latihan praktikal di restoran De Wan 1958 milik Chef Wan serta pisau ditandatangani Chef Martin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak, berkata tujuan utama program itu adalah untuk menyokong kempen ‘Sayangi Sawitku’ dianjurkan kerajaan dan menggalakkan orang ramai menggunakan minyak sawit secara meluas untuk memasak.

“Matlamat program ini juga untuk mengetengah dan mempersiapkan chef muda terbaik untuk berkhidmat di peringkat global dengan memasak menggunakan minyak sawit.

“Kami juga yakin semua peserta akan mendapat manfaat besar menerusi perkongsian ilmu, pendedahan kemahiran dan teknik memasak dicurahkan Chef Wan dan Martin sepanjang rakaman rancangan berkenaan berlangsung,” katanya.