Newsroom News Details

KERJASAMA UNITAR, YAYASAN FELDA PERKASA MODAL INSAN NEGARA
Monday, April 1, 2019
unitar news

KUALA LUMPUR: UNITAR International University (UNITAR) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Yayasan FELDA, di sini, baru-baru ini, bagi mengukuhkan jalinan kerjasama terutama dalam bidang latihan amali dan kerjaya membabitkan kedua-dua organisasi.

 

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan Naib Canselor UNITAR, Prof Dr Noor Raihan Abd Hamid dan Pengurus Besar Yayasan FELDA, Datuk Mohd Banuri Aris, dengan disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Pengerusi Jawatankuasa Akademik Yayasan FELDA, Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid.

 

Prof Noor Raihan berkata, kerjasama itu akan memperkasakan lagi modal insan negara, sekali gus melahirkan individu yang memiliki kemahiran terkini untuk mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

 

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua organisasi itu akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek termasuk penyediaan pengajian lanjutan kepada graduan Kolej Yayasan FELDA di UNITAR dan penempatan latihan amali pelajar UNITAR di syarikat atau agensi di bawah Yayasan FELDA.

 

“Graduan Kolej Yayasan FELDA boleh menyambung pengajian ke peringkat diploma di UNITAR pada sesi pengajian yang akan bermula pada 22 April ini.

 

“Selain itu, kerjasama ini juga membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan dan pembangunan membabitkan bidang kepakaran yang ada di kedua-dua organisasi, sekali gus memberikan nilai tambah dan daya saing kepada pelajar,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU bersama Yayasan FELDA.

 

Selain UNITAR, Sebanyak 19 lagi organisasi dan syarikat turut menandatangani MoU dengan Yayasan FELDA membabitkan kerjasama berkaitan pembangunan bidang pendidikan dan kesukarelawanan.