Newsroom News Details

RAKAN INDUSTRI UNITAR JALIN KERJASAMA BAGI LAHIRKAN GRADUAN BERKUALITI
Tuesday, June 18, 2019
unitar news

Petaling Jaya: Bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0, para graduan disarankan untuk mempunyai kompetensi dan kemahiran pekerjaan bagi mereka berdaya saing dalam pasaran kerjaya, dan mempunyai pengetahuan yang relevan dan terkini, pengalaman praktikal, kemahiran insaniah serta sikap yang positif untuk melengkapkan mereka sebelum berdepan cabaran dunia kerjaya sebenar.

Latihan praktikal atau industri merupakan salah satu daripada program kurikulum pengajian kepada para pelajar sebelum menempuh alam pekerjaan kelak. Latihan ini turut memberi pelajar peluang pembelajaran di dunia pekerjaan untuk menerima pengalaman praktikal supaya dapat mempertingkatkan kebolehpasaran serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh semasa mereka belajar dahulu.

Dalam pada itu, sebagai usaha untuk memperluas peluang kerjaya mahasiswanya, UNITAR telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai rakan industri daripada syarikat swasta mahupun kerajaan sebagai pendedahan kepada pelbagai ilmu perkerjaan serta teknologi terkini yang diguna pakai dalam pasaran semasa.

Selain itu, hubungan akrab dengan rakan industri juga membolehkan para pelajar di UNITAR berjaya mendapat tempat menjalani latihan praktikal di sana.

Atribut CARE yang digunapakai dalam kurikulum UNITAR, iaitu Kerjasama (Collaborative), Penyesuaian (Adaptive), Cerminan (Reflective) dan Keusahawanan (Entrepreneurial) amat bertepatan dengan kehendak kerjaya serta mampu membentuk kualiti personaliti dan menjamin kebolehpasaran graduan UNITAR.

Menurut Naib Canselor UNITAR, Prof Dr Noor Raihan Abd Hamid, “UNITAR telah menawarkan pengajian yang sangat berkualiti serta seiring dengan kehendak semasa kepada para pelajar. Justeru, tidak hairanlah mereka mudah diterima untuk menjalankan pengajian di beberapa syarikat terkemuka, termasuklah dalam sektor kerajaan. Kemampuan para pelajar untuk bersama-sama membantu organisasi dan bijak menyesuaikan diri menjadikan mereka mudah diserap berkerja selepas menamatkan latihan praktikal.”

Beliau turut berkata, kerjasama yang dijalinkan antara rakan industri terkemuka, antaranya Maxis, Sime Darby, Air Asia, dan MIMOS akan memperkasakan lagi modal insan negara dan membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan dan pembangunan membabitkan bidang kepakaran yang ada, serta secara tidak langsung turut membantu negara merangsang aktiviti ekonomi untuk bersaing di peringkat global.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Operasi Revenue Valley, Dickson Low, beliau amat mengalu-alukan para pelajar UNITAR untuk menjalani latihan praktikal di syarikat beliau yang merupakan pemegang lesen utama jenama francais The Manhattan Fish Market, Popeye's Louisiana Kitchen dan Tony Roma’s. “Dengan kepakaran dan rangkaian restoran kami, saya percaya pelajar UNITAR akan mendapat manfaat yang besar daripada kemahiran dan pendedahan yang diberikan. Selain itu, penerapan nilai CARE yang diterapkan semasa mereka belajar di UNITAR sememangnya aspek penting dan nilai tambah yang dicari oleh syarikat kami bagi memupuk suasana kerja yang dinamik dan secara tidak langsung dapat memacu keuntungan syarikat." Katanya pada acara CAREnival yang berlangsung baru-baru ini .

Dalam perkembangan lain, UNITAR kini membuka kemasukan pelajar bagi pengambilan Jun 2019 di kampus Petaling Jaya serta kampus cawangannya di seluruh negara termasuklah Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Kuantan, Seremban, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

Sila datang dan terokai pintu peluang yang terbuka luas untuk orang ramai melanjutkan pengajian di UNITAR.

UNITAR merupakan sebuah universiti swasta berkaitan kerajaan yang memenangi pelbagai anugerah antarabangsa, yang diiktiraf sepenuhnya oleh MQA.