Newsroom News Details

UNITAR LANCAR KEMPEN BIAR BETUL, BANTU GOLONGAN B40
Friday, March 15, 2019
unitar news

KELANA JAYA: Bagi pengambilan pelajar April ini, UNITAR International University (UNITAR) melancarkan Kempen Biar Betul, semua boleh masuk U!

Naib Canselor UNITAR, Prof Dr Noor Raihan Abd Hamid, berkata kempen itu bagi memberi yang terbaik kepada pelajar dan membuka pintu kepada mereka yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Beliau berkata, kempen itu membabitkan dua aspek, pertama, UNITAR kini melancarkan tawaran menarik yang sukar dipercayai dan di luar jangkaan.

“Lebih menarik, UNITAR turut menyediakan Program Asasi Percuma, program diploma daripada hanya RM13,000 dan program ijazah daripada RM30,000. Selain itu, lebih mengujakan pelajar dapat menikmati kos sara diri sehingga RM5,000 dengan 100 peratus ditanggung Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Semua tawaran ini boleh dinikmati pelajar yang mendaftar di Pusat-pusat Wilayah UNITAR, manakala bagi Program Asasi Percuma boleh dinikmati oleh pelajar yang mendaftar di seluruh negara,” katanya dalam suatu kenyataan media di sini, hari ini.

Aspek kedua pula, Prof Noor Raihan berkata, UNITAR ingin memastikan universiti itu terus menerajui sektor pendidikan swasta, terutamanya untuk golongan B40 dan M40 bagi memastikan pelajar menerima pendidikan sepatutnya dengan betul, iaitu pendidikan yang mendapat pengiktirafan badan berkaitan serta suasana pembelajaran sistematik dan terbaik.

Beliau berkata, menjadi misi utama UNITAR untuk menghasilkan graduan yang kompeten dan seiring dengan keperluan semasa korporat serta industri melalui penerapan unsur CARE dalam sistem pengajaran.

CARE adalah graduan yang berpaksikan kompetensi Collaborative (Kerjasama), Adaptive (Penyesuaian), Reflective (Cerminan) dan Entrepreneurial (Keusahawanan).

Pelajar yang diasaskan dengan ciri CARE akan mempunyai minda ingin tahu, pemikiran saintifik, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan cenderung untuk menghasilkan idea baharu.

Prof Noor Raihan berkata, turut disediakan Biasiswa Merit, Sukan dan Kepimpinan termasuk Biasiswa I-Future.

Beliau berkata, berikutan tawaran yang mengujakan ini, UNITAR berharap masalah kewangan bukan lagi alasan bagi pelajar tidak mengikuti pengajian berkualiti di universiti ini.

“Biarpun sebuah universiti swasta, semua golongan diberi peluang seluasnya untuk menikmati pengajian berkualiti yang mampu meningkatkan prestasi dan semangat daya saing berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR, Puvan Balachandran, berkata universiti itu terus mengorak langkah dalam sektor pelajaran tinggi negara selaras dengan visinya untuk meluaskan peluang pembelajaran terutamanya bagi golongan memerlukan.

Beliau berkata, berpandukan hala tuju ini, UNITAR bakal menawarkan dua program inovatif dalam masa terdekat, satu daripadanya adalah program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) UNITAR yang lebih sesuai dengan keperluan sebenar golongan bekerja muda dari segi kos, masa dan kelayakan akademik.

Sehubungan itu, katanya, UNITAR bakal memperkenalkan Kelas Eksekutif Sarjana Bersiri dengan menjemput personaliti dalam pelbagai bidang bagi memberi inspirasi kepada golongan belia untuk mengorak langkah lebih jauh dalam menggapai impian.

“Program inovatif kedua adalah bagi mereka yang hanya memiliki satu kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun berpeluang untuk menyambung pengajian ke program sijil sebagai laluan pengajian ke peringkat diploma.

“Walau apapun faktor yang mendorong seseorang dalam pemilihan ke institusi pengajian tinggi (IPT), UNITAR tetap menjadi universiti pilihan yang mantap tidak kira dari segi kemampuan, kualiti pendidikan, lokasi dan kebolehpasaran graduan, kesemua ini adalah tunjang Kempen Biar Betul,” katanya.

News Source : https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/03/541418/unitar-lancar-kempen-biar-betul-bantu-golongan-b40