Newsroom News Details

UNITAR-MCO-RAYA
Thursday, May 28, 2020
unitar news
PATUH NASIHAT KERAJAAN, JAUH DARI KELUARGA PADA MALAM RAYA
UNITAR ‘turun beraya’ bersama 25 pelajar dari Sabah yang terkandas di semenanjung, pelajar kongsi pengalaman Aidilfitri berbeza.

28 May 2020 - Petaling Jaya: Sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak COVID-19, sambutan Aidilfitri pada tahun ini ternyata berbeza buat 25 orang pelajar Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR) yang berasal dari Sabah. Ini kerana mereka merupakan antara puluhan pelajar lain dari Pusat Pembelajaran Daerah UNITAR di seluruh Malaysia yang tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Oleh kerana itu, pihak pengurusan UNITAR, diwakili oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah telah mengambil langkah untuk menyalurkan segala keperluan kepada kesemua pelajar tersebut bagi persediaan menyambut bulan Syawal baru-baru ini. Ini supaya ia dapat mengekalkan semangat mereka untuk menyambut Aidilfitri, walaupun bersendirian dan jauh dari keluarga.
Seiring dengan inisiatif IPT Pulang oleh kerajaan Malaysia, UNITAR telah mengambil langkah untuk menguruskan perjalanan pulang kesemua pelajar dari luar bandar supaya mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga dan menghabiskan bulan Ramadan bersama. Pada akhir Ramadan, seramai hampir 30 orang pelajar telah berjaya dihantar pulang merangkumi Kawasan Tengah, Utara, Selatan, Labuan & Sarawak. Pihak universiti telah memastikan kebajikan setiap pelajar terjaga dengan menyalurkan juadah berbuka puasa, makanan ringan dah untuk bersahur terutama sekali bagi perjalanan yang mengambil masa yang lama.
Namun begitu, nasib berbeza dialami 25 pelajar dari Sabah kerana perjalanan mereka pulang ke kampung ditangguhkan demi mengutamakan keselamatan masyarakat umum di sana. Oleh itu, mereka tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut ketibaan perayaan Aidilfitri dan & Pesta Keaamatan yang bakal tiba. Enam orang daripada kumpulan pelajar tersebut telah membuat keputusan untuk terus tinggal di semenanjung.
Menurut Mahmud bin Abd Murana, 23, “Sejak berlakunya penularan wabak COVID-19, saya hanya tinggal bersama rakan di asrama dan Ramadan kali ini sangat berbeza kerana kami tidak dibenarkan ke mana-mana, tiada bazar ramadan dan masjid untuk menunaikan solat Terawih.” Pelajar yang berasal dari Kudat ini sedang mengambil pengajian dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan peringkat Ijazah Sarjana Muda di UNITAR.
Sementara itu Nur Qamarina Binti Ali, 22, berasal dari Kota Kinabalu menyatakan bahawa beliau sangat bersyukur kerana menerima bantuan daripada pihak universiti disebalik perasaan kecewa tidak dapat pulang ke kampung. Ini kerana menurut beliau yang juga pelajar jurusan pengurusan di UNITAR, masakan yang dimasak ibu bapa adalah yang paling dirindui ketika bulan puasa dan Hari Raya Aidilfiri.
Pelajar yang tinggal di hostel kemudahan universiti dan sekeliling kampus telah menerima bekalan makanan kering, keperluan lain termasuklah makanan dan minuman berkhasiat. Pada malam hari raya, pihak pengurusan UNITAR juga membekalkan juadah istimewa hari raya seperti nasi impit dan rendang, serta duit raya kepada setiap pelajar. Ini semua adalah bantuan tambahan yang telah disalurkan UNITAR sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.
Kementerian Pengajian Tinggi semalam dalam satu kenyataan telah mengumumkan bahawa aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua kampus Institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini. Bersesuaian dengan keadaan semasa, UNITAR juga selaku Universiti Alam Maya Pertama di Asia Tenggara baru-baru ini telah dinobatkan sebagai yang pertama untuk menerima pengiktirafan 5-Bintang bagi kategori ‘Dalam Talian’ oleh QS yang berpengkalan di United Kingdom.